KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak bersubsidi bernilai RM85,717 dalam tempoh 15 hari, bermula bulan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata rampasan itu membabitkan 70 kesalahan melalui operasi Ayam, Telur dan Minyak (ATM), yang dijalankan sehingga Isnin lalu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, berkata antara kesalahan adalah 11 kes aktiviti penyelewengan, termasuk cubaan menyeludup barangan itu ke negara jiran, gagal menyelenggara buku stok (42), beroperasi tanpa lesen (lapan) dan tujuh kesalahan membabitkan aktiviti menyorok bekalan serta mengenakan syarat pembelian.

“Bagi mengekang berlakunya kebocoran minyak masak bersubsidi, KPDNHEP turut melakukan operasi samar iaitu pegawai penguatkuasa tidak berpakaian seragam turun ke lapangan untuk melakukan penyamaran.

“Operasi bersepadu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut digerakkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Majlis Jamuan Amal Perwira Jasamu Dikenang, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral (B), Datuk Zaki Hamzah.

Mengulas operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak satu kilogram (kg), Rosol, yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata operasi itu akan diadakan di 22 syarikat pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket di seluruh negara.

Katanya, operasi pengauditan dilakukan secara berterusan sejak berpuluh tahun lalu dan bukannya bermula sejak isu berlakunya kebocoran bekalan minyak masak.

“Operasi pengauditan yang dilakukan sejak berpuluh tahun lalu turut menghasilkan rampasan dan penyelewengan serta penyeludupan minyak masak bersubsidi.

“Kita pertingkatkan operasi pengauditan dan pemutihan disebabkan jurang perbezaan harga minyak masak bersubsidi dan tanpa subsidi yang terlalu tinggi menyebabkan berlakunya peningkatan kes penyelewengan dan penyeludupan barangan itu ke negara jiran,” katanya.

Mengenai tindakan ke atas syarikat pembungkusan yang dikesan melakukan kesalahan, Rosol berkata, tindakan membatalkan lesen dan menggantung semua proses aktiviti berkaitan dengan minyak akan dikenakan.