KOTA BHARU, 17 Julai – Pasaran buruh negara kini semakin kukuh yang menggalakkan siswazah dan penganggur mengisi kira-kira 420,000 kekosongan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengangguran juga semakin rendah apabila mencatatkan 4.6 peratus pada April 2021 kepada 3.9 peratus pada 2022.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, kajian menunjukkan kira-kira 52 peratus penganggur membabitkan siswazah.

“Negara juga masih ada isu ketidakcukupan pekerja membabitkan sektor pembuatan dan perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pasaran Buruh Dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2020 Sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Keluarga Malaysia pada Ahad.

Program berkenaan anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hadir sama, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan Sip Perkeso, Ummar Jai Kumar Abdullah dan Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaakob.

Tambah beliau, ‘outreach’ terbabit bertujuan mencari profil lengkap pencari kerja selain melihat faktor jurang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja dan menggalakkan fungsi Myfuture Job yang perlu menjadi mekanisme kepada golongan itu.

“Kita juga mahu mengenal pasti majikan bagi padanan pekerjaan yang sesuai dengan profail pencari,” katanya.

Mustapa memberitahu, Kelantan menjadi perintis program itu sebelum diperluaskan ke negeri lain di seluruh negara.

“Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan program ‘outreach’ dilaksanakan bermula Mac, lebih 4,000 maklum balas diterima,” katanya.