KUALA LUMPUR, 17 Julai – Retreat Wanita Perikatan Nasional (PN) yang diadakan selama tiga hari di Shah Alam telah menyatukan hati dan ukhuwah silaturahim antara semua parti komponen.

Seramai 140 peserta hadir yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan Wanita daripada BERSATU, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

Program retreat itu dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas dan majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ikatan ukhuwah silaturahim ini diharapkan agar dapat mencari titik persamaan dan kerjasama yang lebih utuh di kalangan Wanita PN dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Inilah yang diharapkan demi mencari titik persamaan dan kerjasama yang lebih utuh antara kami Wanita Perikatan Nasional.

“Ada luahan hati yang disuarakan dengan terbuka atas prinsip berani kerana benar, selain pelbagai pandangan dilontarkan dengan kritikan yang membina.

“Harapan saya agar kita dapat memupuk rasa kasih dan semangat kerjasama berpasukan untuk gerak kerja yang lebih mantap dan berstrategi bagi mencapai kemenangan PRU-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara perkara yang turut disentuh dalam retreat itu adalah mengenai tindakan segera kerajaan dalam menyediakan pelan tindakan segera bagi menangani kos sara hidup yang tinggi.