KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan segera yang lebih efisien termasuk mengumumkan satu pelan tindakan baru untuk menangani isu permasalahan mengenai kos sara hidup.

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ramai pemimpin Wanita PN melahirkan kebimbangan dan kerisauan mereka berhubung krisis sara hidup yang perlu diatasi segera.

Malah, kata Rina, Wanita PN juga mendesak kerajaan untuk mendahulukan isu rakyat dan tidak melayan sebarang desakan berkaitan pembubaran Parlimen.

“Berhubung kenaikan bilangan miskin tegar, Wanita PN menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji keperluan B40 di naikkan kepada B50/B60 dengan kadar segera.

“Pakej rangsangan khusus bagi wanita menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang meruncing juga perlu diumumkan.

“Pengelasan pendapatan isi rumah B40-B50/B60 dan M20-M40 contohnya perlu dikaji dengan segera bagi membolehkan peruntukan dan perkhidmatan yang disedia oleh pihak kerajaan dapat dimanfaatkan oleh rakyat seadilnya untuk menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata keputusan ini dicapai sewaktu Retreat Wanita Perikatan Nasional yang diadakan selama tiga hari di Shah Alam, baru-baru ini.

Seramai 140 peserta hadir yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan Wanita daripada BERSATU, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

Program retreat itu dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas dan majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Rina, program retreat ini berlangsung dalam suasana yang rancak dan harmoni di mana para peserta telah melontarkan pelbagai cadangan dan idea berhubung isu semasa dan politik untuk tindakan segera.

Dalam pada itu, Rina menjelaskan Wanita PN juga akan mengadakan sesi Perbincangan Meja Bulat Wanita Bangkit minggu depan bersama NGO-NGO dan pemimpin wanita yang akan membincangkan isu-isu berkaitan kos sara hidup rakyat dan juga beberapa isu lain berhubung pemerkasaan wanita.