KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) disaran mengambil satu ketetapan politik yang tegas berhubung hala tuju PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini kerana masa dan waktu semakin kritikal dan perlu ada satu keputusan yang muktamad supaya PN dapat mara ke depan dengan satu pasukan yang lebih berwibawa dan mantap.

Jelasnya, Wanita PN juga menyatakan pendirian berhubung penyertaan calon-calon wanita untuk PRU15 kepada pucuk pimpinan.

“Pucuk pimpinan khususnya Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa memberikan peluang yang adil kepada Wanita PN ini sebelum ini di PRN Melaka dan Johor.

“Kami menaruh kepercayaan yang tinggi pucuk pimpinan akan membuat keputusan yang terbaik.

“Suara wanita mampu membawa perubahan, suara wanita memiliki kuasa penentu!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata keputusan ini dicapai sewaktu Retreat Wanita Perikatan Nasional yang diadakan selama tiga hari di Shah Alam, baru-baru ini.

Seramai 140 peserta hadir yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan Wanita daripada BERSATU, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

Program retreat itu dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas dan majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Rina, program retreat ini berlangsung dalam suasana yang rancak dan harmoni di mana para peserta telah melontarkan pelbagai cadangan dan idea berhubung isu semasa dan politik untuk tindakan segera.