KUALA LUMPUR, 18 Julai – Bilangan miskin tegar telah meningkat kepada 144,932 ketua isi rumah setakat 30 Jun 2022, susulan daripada penggunaan metodologi baharu pendapatan garis kemiskinan 2019 serta impak pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu jauh beza dengan 44,829 ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar pada 2020, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau eKasih diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu sedang ditangani menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia, memandangkan salah satu sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah membasmi kemiskinan tegar pada akhir tahun 2025.

“Di bawah program ini, kaedah dan pendekatan dalam membasmi kemiskinan tegar adalah berbeza dan lebih holistik. Ini termasuk menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah

“Mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara dan berdasarkan masalah setempat, penglibatan pelbagai pihak merangkumi universiti awam, sektor swasta, industri dan lain-lain serta memperkenalkan dasar pemisah selepas tempoh dua hingga tiga tahun pelaksanaan,” katanya ketika dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) mengenai bilangan rakyat negara ini yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga terkini 2022 dan langkah kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat negara ini serta setakat manakah pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia sehingga kini.

Buat masa ini, kata Mustapa, program ini akan dilaksanakan di 1,000 lokaliti dalam tempoh tiga tahun enam bulan, dengan Fasa 1 telah mula dilaksanakan pada bulan Jun 2022 melibatkan 80 lokaliti.

“Ini untuk meningkatkan pendapatan yang merangkumi projek-projek pertanian, penternakan, keusahawanan, pemasaran serta pembangunan minda dan motivasi. Anggaran pendapatan tambahan yang akan dijana adalah di antara RM300 hingga RM1,000 sebulan.

“Bagi memastikan kejayaan program ini, Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Daerah dan Cawangan bertanggungjawab untuk memantau dan membuat laporan bulanan serta mengambil tindakan intervensi sekiranya perlu,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa mengakui cadangan Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) mengenai rancangan makanan percuma di sekolah bagi membantu golongan memerlukan adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan.

“Kita sedia maklum, rancangan makanan tambahan masih lagi ada, peruntukannya lebih RM400 juta setahun yang dinikmati ratusan ribu pelajar di seluruh negara.

“Tetapi rancangan untuk memberi makanan percuma kepada semua pelajar ini bolehlah dipertimbangkan kerajaan berdasarkan peruntukan sedia ada,” katanya.