ALOR SETAR, 18 Julai – Kedah mencatatkan rekod tertinggi nilai pelaburan diterima sebanyak RM8.55 bilion bagi suku pertama 2022.

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, jumlah diterima menjadikan Kedah berada pada kedudukan pertama mengatasi beberapa negeri lain.

Beliau yang juga ADUN BERSATU Guar Chempedak berkata, Pulau Pinang mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM6.33 bilion dan Sabah merekodkan lebih RM3 bilion.

“Kita berharap momentum ini dapat diteruskan dan saya percaya tahun ini kita juga akan mencapai jumlah pelaburan yang memberangsangkan, tetapi tidaklah sama banyak (seperti) 2021. Tahun 2021 orang kata istimewa,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan Nor Sabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baharu) berkaitan jumlah pelaburan yang telah berjaya pada tahun 2020 dan 2021 dan jumlah peluang pekerjaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Beliau menjelaskan, kebanyakan pelaburan direkodkan bagi suku pertama melibatkan bidang elektrik dan elektronik berikutan kekurangan cip semikonduktor menyebabkan pihak syarikat meningkatkan pengeluaran masing-masing.

Tambah Ku Rahman, pihaknya mendapati sebanyak 12,333 peluang pekerjaan diwujudkan melalui jumlah keseluruhan pelaburan dalam industri pembuatan bernilai RM66.22 bilion pada tahun lepas.

Menurut beliau, ia merangkumi pelaburan domestik sebanyak RM386 juta,manakala pelaburan asing RM65.833 bilion menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM66.22 bilion.

Beliau menyifatkan jumlah yang dicatatkan tersebut merupakan tertinggi yang pernah dicapai Kedah dalam sejarah.