KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia berkenaan masalah pengambilan pekerja asing dari negara republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini bagi memastikan segala salah faham yang ada dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Bagi menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing dari Indonesia, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Sumber Manusia dan imigresen untuk mengadakan perbincangan segera dengan pihak Indonesia.

“Bermula hari ini sudah ada perbincangan dan kita perlukan sedikit perubahan penelitian isu yang dibangkitkan bersama antara kedua pihak,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatan Kuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh Bilangan 1 Tahun 2022 di Bukit Aman pada Isnin.

Hamzah berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara dan pada masa yang sama menjamin mereka dilindungi hak secara saksama.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri segera menyelesaikan isu berbangkit membabitkan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.

Ini susulan dakwaan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang mengatakan Malaysia melanggar MoU pekhidmat domestik Indonesia (PDI) yang dimeterai April lalu.

Malaysia didakwa melanggar MoU itu berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO), sedangkan kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran, iaitu One Channel System (OCS) menerusi MoU.

Indonesia ingin menghentikan penggunaan SMO kerana sistem itu membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja, sekali gus terdedah kepada risiko kerja secara paksa.

Dalam sidang akhbar sama, Hamzah berkata, mesyuarat bersetuju agensi kawal selia bagi subsektor gudang darat diberikan kepada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, mesyuarat bersetuju subsektor ini boleh dibuka dan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing berkemahiran rendah namun elemen kawalan masih diperlukan supaya menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Mesyuarat juga bersetuju Kementerian Pengangkutan dilantik sebagai Agensi Kawal Selia bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat dan bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi penggajian pekerja asing industri sarang burung walit oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kertas cadangan dari Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) juga diluluskan bagi membolehkan agensi berkenaan menguruskan sepenuhnya kemasukan pekerja asing binaan melebihi 100 orang selaras dengan pematuhan kepada Akta 520 seperti memastikan pekerja mempunyai Kad Personel Binaan CIDB dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP).

“Kebenaran untuk pekerja asing berpermit secara jangka pendek bagi melaksanakan kerja pembinaan infrastruktur dan kerja di Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) dan keputusan dibuat Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga bersetuju membenarkan pekerja asing digajikan dalam subsektor barang lusuh dan subsektor dobi selain membenarkan pekerja asing dari 15 negara bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.