KUALA LUMPUR, 18 Julai – Konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan penurunan jumlah eksport antara Malaysia dan kedua-dua negara tersebut, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Bagaimanapun Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penurunan eksport itu hanya memberikan kesan minimal kepada prestasi keseluruhan sektor eksport Malaysia.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, sumber import terbesar Malaysia daripada Rusia ialah petroleum dan arang batu, manakala Malaysia mengimport gandum dan bijirin serta minyak bunga matahari daripada Ukraine.

“Industri pembuatan (manufacturing) cip tempatan telah terkesan akibat konflik ini. Malaysia menyumbang sebanyak 13% kepada sektor pengujian dan pembungkusan cip dunia (electric and electronic – E&E).

“Sektor ini terkesan kerana Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar bagi ‘neon’ dan ‘palladium’ iaitu bahan utama dalam pembuatan semikonduktor. Hal ini akan menyebabkan pengurangan eksport komponen tersebut ke pasaran dunia terutamanya benua Eropah,” katanya lagi.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang ingin mengetahui langkah kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung, khususnya kepada ekonomi, akibat daripada perang tersebut.

Selain itu, Mohamad juga ingin mengetahui usaha kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak
akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi, yang akan memberi kesan buruk kepada negara

Dalam pada tu Saifuddin berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) secara berterusan melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan kesan sporadik ke atas ekonomi negara.

Antara lainnya, jelasnya lagi, kerajaan komited untuk melonjakkan prestasi perdagangan antarabangsa dan pelaburan negara, dengan menggalakkan penerokaan pasaran baharu bersama negara-negara dagang, yang tidak terlibat dalam konflik tersebut.

Saifuddin berkata, ia dilaksanakan melalui komitmen konsesi-konsesi tarif di bawah 16 perjanjian perdagangan bebas yang berkuatkuasa dan telah diratifikasi oleh Malaysia, khususnya dengan negara sumber bagi bahan mentah/separa-mentah/telah diproses industri pembuatan produk eksport Malaysia.

Selain itu, katanya lagi, kerajaan melalui MITI juga sentiasa menggalakkan industri tempatan untuk mempelbagaikan produk pengganti eksport (export substitution products) bagi merebut peluang-peluang permintaan pasaran baharu yang wujud akibat konflik tersebut.