TELUPID, 18 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera bagi menyelesaikan pelbagai keperluan mendesak di sekolah terutama melibatkan penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata sehubungan itu beliau mahu semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan kepada kementerian bagi membolehkan perkara mendesak di sekolah diberikan perhatian dan diambil tindakan segera.

“Kita akan menggunakan peruntukan bagi perkara itu secepat mungkin dan murid-murid serta warga sekolah akan mendapat manfaatnya secepat mungkin.

“Jadi apabila disusun mengikut keutamaan iaitu yang mana paling mendesak, kita selesai terlebih dahulu. Sebab itu peranan yang dimainkan PPD cukup penting dan mereka perlu sentiasa rapat (dengan) sekolah-sekolah di kawasan mereka,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di beberapa sekolah kawasan pedalaman iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan dekat sini, serta dua sekolah di Beluran iaitu SK Jambongan dan SK Pantai Boring.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Mohd Radzi berkata kementeriannya juga sedang memperincikan faktor yang menjadi penghalang kepada pembangunan infrastruktur sekolah bagi memastikan pembangunan itu dapat dilaksana dengan kadar segera.

“Kita memperincikan satu persatu apa yang menjadi penghalang bukan sahaja rumah guru tetapi juga mana-mana sekolah yang memerlukan asrama contohnya,” katanya.