KOTA KINABALU, 18 Julai – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan sedaya upaya merayu kepada kerajaan Persekutuan untuk tidak menangguh sebarang projek pembangunan di negeri itu.

Katanya, walaupun keputusan kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri, namun beliau berharap ia (penangguhan) tidak dilaksanakan di Sabah.

“Kita belum dimaklumkan keputusan ataupun tindakan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan peruntukan bagi projek-projek pembangunan di Sabah.

“Kalaulah perkara ini sampai ke pihak negeri, kita akan merayu dan kita akan minta kerajaan Persekutuah supaya tidak menangguhkan peruntukan-peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada Sabah.

“Ini amat penting kerana kita pun selalu menyatakan bahawa peruntukan diberikan kepada Sabah tidak cukup, jadi kalau tidak cukup, mereka tarik balik, tangguh lagi balik, saya rasa ini tidak berapa sesuailah untuk kita di Sabah,” katanya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) berhubung keputusan kerajaan Pusat yang akan menangguhkan atau membatalkan semua projek yang belum dimulakan.

Tindakan itu sebagai langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’.