KUALA LUMPUR, 19 Julai – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU kesal dengan kenyataan Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet yang mempertikaikan tindakan ke atas pelawak dan Crackhouse Comedy Club.

Exco Armada BERSATU, Firdaus Rashid berkata, Wei Jiet seharusnya tahu atas kesalahan apa yang dikenakan terhadap pelawak dan kelab tersebut kerana dia seorang peguam.

“Sebagai seorang peguam, dia tentu tahu bahawa kelab tersebut telah dilaporkan media tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan operasi sebagai sebuah kelab komedi.

“Bukankah itu menjadi satu kesalahan dan wajar diambil tindakan?

“Di samping itu, video persembahan pelawak tersebut juga telah tular dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam kerana menyinggung sensitiviti agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Firdaus berkata, oleh itu, tindakan pihak berkuasa adalah wajar bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku akibat kemarahan orang awam.

Katanya, perkara itu yang tidak difahami oleh Wei Jiet dan parti MUDA.

“Adakah MUDA ditubuhkan untuk mewakili suara rakyat majoriti atau pun sekadar menjadi ‘lidah’ kepada golongan minoriti tertentu yang tidak memahami demografi dan geopolitik serta pegangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama terutamanya orang Melayu dan Islam?

“Sekiranya begitu, saya rasa parti MUDA tidak sesuai untuk bertanding dan mewakili suara rakyat Malaysia. Mungkin MUDA lebih sesuai dan diterima di negara-negara seperti Singapura atau Hong Kong.

“Dalam hal ini, kita juga nak tahu apa pandangan dan pendirian ADUN N41 Puteri Wangsa YB Amira Aisya? Sebagai seorang perempuan Muslim, adakah YB Amira juga turut bersetuju dengan lawak tidak sensitif terhadap agama Islam yang dipersembahkan di Crackhouse Comedy Club?” soalnya.