KOTA KINABALU, 19 Julai – Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menyeru semua wakil rakyat negeri Sabah untuk bersatu hati dalam usaha mengekalkan kedaulatan negeri Sabah dan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.

“Semua wakil rakyat kita, tidak kira di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri, perlu bersama bersatu hati dalam isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang entah sampai bila akan menemui titik penghujungnya ini.

“Perkara ini melibatkan kedaulatan negeri kita, negeri Sabah dan hal sebegini tidak boleh dibincangkan dengan melihat kepada perbezaan dan sudut pandang yang negatif serta saling menyalahkan satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, semua pemimpin Sabah tidak boleh menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai halangan untuk bersatu dalam menyuarakan isu waris Kesultanan Sulu dan kedaulatan Sabah.

“Jangan lihat perbezaan fahaman kita, ideologi kita atau apa-apa pendirian kita dalam perjuangan politik, isu waris Kesultanan Sulu dan tuntutan mereka adalah isu kita bersama, Sabah negeri kita.

“Kita mesti bersama dalam mempertahankan kedaulatan negeri Sabah dan negara kita Malaysia,” katanya.

Katanya, semua pemimpin Sabah wajar mencari solusi dan menetapkan pendirian bersama dalam usaha bagi membincangkan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.

“Berhenti untuk saling tunding jari pada satu sama lain, yang sini salahkan yang sana, yang sana salahkan yang sini, sudahlah.

“Sekarang bukan masanya lagi, isu tuntutan waris Kesultanan Sulu bukan isu kecil yang boleh kita pandang enteng, kita perlu bersama dan bangkit bersama untuk mencari solusi tuntas bagi kita terus kekalkan kedaulatan kita.

“We need a closure for this,” jelasnya lagi.