KUALA LUMPUR, 19 Julai – Negara merekodkan 3,080 kes baharu COVID-19 setakat tengah malam tadi, sedikit berkurangan berbanding 3,936 kes yang direkodkan sehari sebelumnya.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu menjadikan 42,185 kes masih aktif dengan 40,622 individu menjalani isolasi di rumah, manakala 1,472 pesakit dirawat di hospital dan 34 kini di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Pesakit baharu COVID-19 yang dimasukkan ke wad membabitkan 545 orang menjadikan kadar kemasukan ke hospital mencecah 68.5 peratus.

Data juga menunjukkan penggunaan katil di wad juga tinggi di beberapa negeri iaitu 87.4 peratus di Melaka, Johor (87.1 peratus); Kedah (84.7 peratus); Selangor (81.9 peratus) diikuti Kelantan (80.9 peratus).

Selain itu, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara mencecah 61.7 peratus membabitkan 57 pesakit COVID-19.

Selain itu, setakat tengah malam tadi, seramai 37 pesakit COVID-19 yang ditempatkan di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

Walaubagaimanapun, data yang dikemaskini setakat jam 5.48 pagi ini, menunjukkan tiada kes kematian termasuk kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).