KUALA LUMPUR, 19 Julai – Armada BERSATU membidas tindakan berdiam diri pimpinan BERSATU yang dilihat seperti mengalah apabila banyak daripada mereka yang seperti pasrah kehilangan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Kuala Langat, Muhammad Ariffin Tarmuji turut mempersoalkan siapakah yang akan dilantik menyandang jawatan-jawatan yang telah kosong itu.

“Sebulan dua ini hangat diperkatakan banyak lantikan-lantikan GLC dan badan berkanun tamat tempoh dan ada yang sudah diganti.

“Ironinya banyak juga pimpinan BERSATU hilang jawatan dan senyap balik ke kampung macam orang pencen.

“Redha dan pasrah itu bagus. Tapi dalam politik, dengan kuasa dan pengaruh itulah kunci untuk kita dapat berkhidmat lebih baik serta berkesan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ariffin berkata selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO didakwa melutut dan mencium tangan untuk meminta jawatan dan projek dengan pimpinan BERSATU.

Katanya, tidak kurang yang salam erat dan tepuk bahu pimpinan BERSATU.

“Tuan-Tuan, kita tak lupa kisah-kisah tu semua. Hari ini mereka nak sekolahkan kita tentang jawapan dan seronok membantai Datuk Wan Saiful Wan Jan atas refleksi tulusnya sepanjang mengepalai PTPTN.

“PTPTN tiada Pengerusi sudah genap sebulan. Kita tahu UMNO memang nak sangat kerusi itu. Sebab apa Tuan-Tuan, PTPTN adalah dulang emas bagi mereka. RM 1.9 bilion kutipan bayaran sepanjang hanya 6 bulan masa zaman Datuk Wan Saiful Wan Jan handle PTPTN,” katanya.

Tambahnya, siang malam UMNO melobi jawatan pengerusi PTPTN.

Katanya, ini menunjukkan mereka bersungguh mahukan jawatan itu.

“Mereka dah cuba dengan ketengah. Orang kita diganti dengan orang mereka.

“Namun dalam hal ini di pihak kita, siapa yang berbunyi dan bersuara. Ketua Penerangan parti kita tiada jawatan langsung dalam kerajaan persekutuan, bukan anggota kabinet, bukan pegawai khas pejabat Perdana Menteri, bukan penasihat itu ini.

“Adakah pimpinan kita tak punya suara yang vokal dan kredibiliti. Adakah kita terlalu lemah,” katanya.

Beliau berkata sampai bila mahu melihat UMNO memijak pimpinan BERSATU.

“Tepuk dada, tanya member bahagian sebelah.

“Jadi kita pakat tidur dulu semua. Dari akar umbi sampai ke Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.