PUTRAJAYA, 19 Julai – Kementerian Pendidikan bersedia untuk mengaktifkan pelan kontigensi kesihatan susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di negara ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pihaknya perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan pelan itu.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, KPM sentiasa mengadakan perbincangan dengan KKM mengenai situasi kesihatan di negara ini khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.

“Dalam tempoh dua tahun, sudah banyak yang kita pelajari dan apa yang penting ialah segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM akan kita patuhi.

“KPM sentiasa berbincang bagi memastikan walaupun dalam keadaan influenza atau COVID-19 sedikit meningkat, kita masih boleh meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat dan teratur.

“Kita sudah melalui keadaan yang sukar sebelum ini dan kita boleh aktifkan apa sahaja pelan yang sudah ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Pancarona, Presint 18 hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes ILI membabitkan kes COVID-19 di seluruh negara menunjukkan peningkatan 8.5 peratus kepada 11.5 peratus berbanding 10.6 peratus sebelumnya.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya bersiap sedia untuk menambah jumlah katil jika berlaku peningkatan pesakit ILI di hospital.

Khairy berkata, tindakan sama pernah diambil sebelum ini ketika pertambahan jumlah kes COVID-19 di hospital pada ketika itu.