KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan undian belah bahagian.

Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun itu menyaksikan seramai 105 Ahli Parlimen bersetuju, 83 Ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 32 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Ia sekaligus membolehkan KDN mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Hamzah ketika mengemukakan usul tersebut berkata, kementerian mengakui penolakan usul tersebut pada 23 Mac lalu amat mendukacitakan KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Namun, memikirkan kemaslahatan Keluarga Malaysia serta berteraskan prinsip Maqasid Syariah, kementerian ini berhasrat untuk mengemukakan sekali lagi usul pelanjutan tempoh 28 hari ini untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

“Walau bagaimanapun, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, pembentangan semula usul yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat sebelum ini dibenarkan dengan membawa usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat sebelum ini terlebih dahulu,” katanya ketika mencadangkan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, senarai kesalahan di bawah Jadual Pertama SOSMA 2012 merupakan kesalahan jenayah yang amat serius, kompleks serta boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam yang memerlukan tempoh siasatan yang panjang.

Jelas beliau, sekiranya tempoh 28 hari ini tidak dilanjutkan, kementerian bimbang usaha untuk menangani kumpulan jenayah terancang dan ancaman kumpulan keganasan akan terjejas terutamanya kes-kes yang sedang disiasat pada bulan Julai ini.

Mac lalu, usul berkenaan ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.