Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan isu yang sungguh menyedihkan iaitu penghinaan terhadap agama Islam. Dilakukan oleh beberapa pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian agama dimana segelintir individu ini telah pun memuat naik video berbaur penghinaan terhadap kesucian agama Islam di laman media sosial.

Saya berasa amat kecewa dengan tindakan mereka ini yang telah mempermainkan agama secara terangan-terangan seolah olah mereka ini berani mencabar kedaulatan, kesucian maruah umat Islam.

Saya menegaskan dan mengingatkan kepada golongan ini sekiranya mereka cuba mengambil agama Islam ini sebagai alat permainan ketahuilah sesungguhnya mereka sendirilah yang telah dipermainkan dan ditipu oleh muslihat duniawi.

Firman Allah SWT di dalam Al Quran:
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).
(Al An,aam 6:70)

Di Malaysia ini agama Islam telah termaktub sebagai agama rasmi persekutuan, namun tidak sesekali menghalangi kebebasan beragama bagi agama selain Islam.

Sebagai seorang pemimpin, saya sudah pasti tidak akan berdiam diri dan dengan sekeras kerasnya mengutuk tindakan yang boleh memecah belahkan perpaduan negara ini. Amat wajar bagi saya untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang kepada sesiapa sahaja yang berani mencemar keharmonian beragama tambah lagi terhadap agama Islam.

Bak peribahasa “Sarang tebuan jangan dijolok, jika dijolok buruk padahnya” !!

Saya juga ingin menasihati kepada golongan yang membuat penghinaan agama ini supaya mereka membuat pemeriksaan kesihatan mental dan fizikal sekiranya terdapat masalah jiwa kerana ini adalah perkara yang tidak sihat apatah lagi kita hidup di dalam masyarakat yang harmoni serta kepelbagaian kaum sudah tentu ianya bukan perkara yang baik jika berlaku ancaman dan hinaan sama ada datang dari dalam atau luar negara.

Jangan kita persendakan kesucian agama Islam ini kerana agama Islam sendiri telah mengajar kita untuk tidak mengizinkan para pengikutnya mempersendakan agama lain dan saya juga percaya agama lain juga tidak mengizinkan kita mempersenda antara satu sama lain.

Pesan saya kepada semua ibu bapa,adik beradik dan ahli keluarga pantaulah pergerakan anak-anak ketika menggunakan akaun media sosial. Perhatikan komen dan hantaran yang dimuat naik mereka. Tanggung jawab kita sebagai ahli keluarga untuk memberi teguran dan nasihat sekiranya berlaku perkara yang salah agar tidak berlaku perkara mendatangkan masalah kepada diri dan akidah dikemudian hari

Jaga dan berpegang teguhlah pada pusaka ini sebaik baik nya iaitu Alquran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Penulis adalah Mohd Shukor Mustaffa, Ketua Penerangan PN Selangor juga merupakan Ketua Bahagian BERSATU Puchong. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.