KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kementerian Belia dan Sukan menyediakan peruntukan yang besar dalam menjayakan program Malaysia Future Leaders School Tier 3 (MFLS Tier 3) bagi melahirkan pemimpin muda yang berkualiti.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kefahaman politik dalam kalangan belia susulan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun yang telah diwartakan.

“Perbelanjaan yang besar dalam menjayakan MFLS ini membuktikan kerajaan komited melahirkan pemimpin muda yang kompeten. KBS sedang laksanakan Program Rukun Negara@Belia (RNB) dan menjadi harapan saya agar semua 157 peserta MFLS Tier 3 tahun ini terlibat dalam RNB nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi-Tea MFLS Tier 3 2022 di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Menurutnya, Program RNB hasil kerjasama dengan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead) itu sedang dirangka dengan menfokuskan kepada empat matlamat.

“Pertamanya, kita ingin tingkatkan kesedaran belia tentang hak dan tanggungjawab sebagai warganegara dalam mencorak demokrasi negara. Keduanya, kita juga mahu tingkatkan kefahaman belia mengenai sistem pilihan raya melalui pendidikan politik,” katanya.

Selain itu, Faizal juga berharap dua lagi matlamat iaitu meningkatkan keyakinan belia dalam pelaksanaan proses pilihan raya yang telus dan keterlibatan belia dalam budaya politik matang dapat direalisasikan.

Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan belia dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Faizal berharap lebih ramai anak muda dapat menjadikan industri itu sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya.

Sehubungan itu, KBS berharap melalui modul MFLS yang dibentuk secara holistik dapat menyelesaikan masalah isu semasa negara dengan pembabitan komuniti belia.