KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, penggunaan Kluster Mata Pelajaran juga akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya dan kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Urusan pengambilan khas guru baharu ini telah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Seramai 16,381 orang guru telah dilantik dan ditempatkan di sekolah bawah KPM.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 13,770 orang adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 orang lantikan secara Contract of Service (CoS). KPM mengucapkan terima kasih di atas kerjasama SPP dalam menjayakan urusan pengambilan guru one-off ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang memintanya menyatakan sama proses pengambilan gurtu khas one-off seramai 18,702 telah dilaksanakan sepenuhnya atau sebaliknya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Radzi turut memaklumkan seramai 1,653 orang guru yang dilantik melalui ambilan one-off merupakan anak kelahiran Sabah yang terdiri daripada 1,498 guru lantikan tetap dan 155 guru lantikan CoS.

Katanya, daripada 1,653 orang guru yang dilantik, seramai 1,221 guru baharu telah ditempatkan di sekolah negeri Sabah. Ini melibatkan 1,104 guru lantikan tetap dan 117 orang guru lantikan CoS.