KUALA LUMPUR, 20 Julai – Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan kementerian dan agensi berkaitan agar mempermudahkan lagi prosedur pengambilan dan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau agak kecewa kerana isu kemasukan pekerja asing ke negara ini belum selesai meskipun dikatakan prosedurnya sudah agak mudah.

“Perkara ini juga kami bincangkan (dalam sesi perbincangan meja bulat MPN pada Selasa) dan sesi MPN (lepas).

“Walaupun prosedur dikatakan agak sudah mudah, namun proses pengambilan pekerja asing itu lambat dan ini memberikan kesan besar kepada produktiviti dan proses pemulihan negara,” katanya selepas menghadiri sesi perbicangan meja bulat bertajuk ‘Speeding up Economic Recovery’ di sini pada Selasa.

Katanya, pengambilan pekerja asing merupakan keperluan pelbagai sektor ekonomi seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, perkilangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meneruskan produktiviti mereka.

Menyentuh mengenai perbelanjaan subsidi negara yang mencecah RM77 bilion, Muhyiddin berkata MPN sedang mengambil tindakan susulan bagi memastikan kerajaan tidak terus menanggung beban subsidi yang tinggi.

Katanya, ramai ahli MPN mencadangkan kerajaan membuat pemberian subsidi bersasar iaitu kepada kumpulan tertentu yang lebih berhak menerimanya.

“Ada tindakan-tindakan susulan yang urus setia Majlis Pemulihan Negara sedang buat sekarang ini untuk memikirkan caranya.

“Kalau terus meningkat disebabkan kenaikan harga barang, itu bagi saya mungkin akan membebankan dan mungkin kerajaan tidak mampu menanggung subsidi yang meningkat dengan ketara ini,” katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata MPN turut membangkitkan isu keselamatan makanan dengan menilai langkah untuk meningkatkan bahan makanan negara dalam masa yang singkat kerana sektor agromakanan itu penting untuk masa hadapan negara.