KUALA LUMPUR, 20 Julai – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, TYT Dr A.K Abdul Momen bersama delegasinya di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, mereka berbincang mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja.

“Saya menjelaskan kepada TYT Dr A. K. Abdul Momen mengenai proses pemulihan negara pasca pandemik yang sedang berjalan dan antara kekangan utama yang dihadapi oleh sektor industri terutama SME di negara ini ialah kekurangan tenaga kerja.

“Beliau memberi jaminan bahawa Bangladesh bersedia membekalkan tenaga kerja yang diperlukan oleh Malaysia susulan MOU yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Bangladesh pada 19 Disember 2021.

“Proses penghantaran tenaga kerja Bangladesh ke negara ini sedang berada di peringkat akhir tertakluk kepada beberapa perkara yang sedang dimuktamadkan oleh kedua-kedua pihak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mengenai isu kebajikan pekerja asing Bangladesh di Malaysia, Muhyiddin memberi jaminan bahawa hak dan kebajikan mereka adalah terjamin mengikut lunas undang-undang negara ini.

“Dalam pertemuan ini juga, beliau mengalu-alukan syarikat dari Malaysia untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Bangladesh terutamanya bidang pertanian yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan,” katanya.