KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kempen ‘Keluarga Malaysia’ menerusi peruntukan pembangunan mengikut butiran Pelan Komunikasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030/Keluarga Malaysia yang turut membabitkan aspek pengiklanan dan promosi.

Menjawab di Dewan Rakyat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata jumlah itu masih di dalam proses perolehan membabitkan 10 perancangan termasuk pelan komunikasi.

“Kos keseluruhan bagi kempen ‘Keluarga Malaysia’ berjumlah RM5 juta…peruntukan ini adalah peruntukan pembangunan di bawah butiran Pelan Komunikasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030/Keluarga Malaysia.

“Ia sedang di dalam proses perolehan merangkumi kerja pengiklanan dan promosi seperti kerja pengiklanan dan promosi yang masih di dalam proses perolehan membabitkan pelan komunikasi dan penyediaan bahan kandungan kreatif.

“Selain itu, ia juga membabitkan slot televisyen, medium percetakan, slot radio, media sosial dan platform sosial yang berkaitan hebahan dan promosi serta media luar,” katanya menerusi jawatan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kos keseluruhan bagi kempen ‘Keluarga Malaysia’ termasuk kos perunding, acara, percetakan, pembelian iklan serta kos lain pada sesi Dewan Rakyat.