KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak mengeluarkan apa-apa bayaran kepada syarikat Berjaya Land Bhd untuk menjalankan kajian mengenai cadangan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kajian itu dilaksanakan oleh syarikat berkenaan melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) bagi melihat kemungkinan memindahkan KKIA yang dijangka berdepan kesesakan penumpang menjelang 2035.

Katanya, kerajaan bersetuju melantik Berjaya Land Bhd untuk melaksanakan kajian itu berdasarkan keyakinan ia mempunyai pengalaman dalam melaksanakannya, manakala QSB dilibatkan sebagai syarat kerajaan negeri walaupun tiada pengalaman berkaitan.

“Qhazanah (QSB) tidak membayar walau sesen pun untuk membuat kajian kemungkinan pemindahan lapangan terbang ini dan begitu juga kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kewangan dalam membuat kajian ini.

“Dari segi pengalaman Berjaya Land, saya tidak tahu secara menyeluruh tetapi jika ia tiada pengalaman sekalipun dalam perkara ini, saya yakin mereka akan membuat ‘engagement’ dengan konsultan di luar negara atau dalam negeri untuk membuat kajian ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) berkaitan kelayakan Berjaya Land Bhd dan bayaran yang dikenakan untuk melaksanakan kajian berkenaan.

Terdahulu, menjawab soalan asal Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata kajian itu harus dilihat secara positif dengan mengambil contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipindahkan dari Subang ke Sepang.

“Perpindahan itu membawa pembangunan yang inklusif kepada bandar Sepang. Kita juga berharap, sekiranya hasil kajian mendapati projek ini berdaya maju untuk dilaksanakan, ianya kelak akan membawa kesan limpahan kepada pembangunan Kimanis dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Katanya, kerajaan memberi kebenaran kepada QSB bersama Berjaya Land Berhad (BLB) untuk menjalankan kajian terperinci itu sebelum diserahkan kepada perhatian Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan selanjutnya.

Abidin berkata, statistik pergerakan penumpang di KKIA pada 2019 mencatat sebanyak 9.4 juta penumpang setahun (MPPA) iaitu melebihi kapasiti sebenar sebanyak sembilan MPPA.

“Bagaimanapun, penularan COVID-19 memberi kesan yang ketara terhadap aliran trafik penumpang di KKIA pada 2020 yang menurun dengan drastik kepada 2.3 MPPA, manakala pada 2021 menurun lagi kepada 2.1 MPPA.

“Namun demikian, aliran trafik dijangka kembali pulih dalam tempoh tiga tahun seperti mana sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Jin Zhe mengenai situasi yang bakal berlaku jika KKIA tidak dipindahkan, Abidin berkata jumlah maksimum mampu ditampung KKIA jika dibesarkan lagi ialah 18 MPPA.

Bagaimanapun, katanya unjuran menunjukkan kapasiti penumpang di lapangan terbang itu akan terus meningkat sehingga 36 MPPA menjelang 2035, sekali gus menyebabkan KKIA berdepan masalah kesesakan yang teruk.

Sebelum ini, QSB dan Berjaya Land Bhd dilaporkan sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalankan kajian kemungkinan untuk memindahkan KKIA ke Kimanis yang letaknya kira-kira 60 kilometer dari lokasi KKIA sekarang di Kepayan, dekat Kota Kinabalu.