KUALA LUMPUR, 20 Julai – Tiada sebarang kuota ditetapkan untuk pengambilan pekerja di sektor awam membuktikan kerajaan tidak mengamalkan sebarang dasar diskriminasi mengikut kaum, agama atau warna kulit.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU S Gobi Krishnan berkata beliau menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berhubung pengambilan pekerja sektor awam bergantung kepada merit.

Katanya, Sayap Bersekutu akan turut sama membantu kerajaan untuk memastikan lebih ramai kaum selain Melayu berminat menyertai sektor awam.

“Apatah lagi saya sendiri adalah bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sempat berkhidmat bersama beberapa Kementerian dan Jabatan.

“Kepelbagaian kaum dan agama di sektor awam akan dapat mengimbangi ketersediaan pegawai semasa cuti perayaan dan lain-lain. Malahan ianya juga dapat membantu dari segi komunikasi dalam bahasa ibunda semua kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengajak semua pihak bersama-sama membantu kerajaan dari segi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dengan keterlibatan kakitangan semua kaum dan agama.

Semalam, dilaporkan kira-kira 90 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera dan kerajaan tidak mengenakan sebarang kuota untuk pengambilan berdasarkan kaum atau etnik, kata Abdul Latiff di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta pecahan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam dan bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikannya lebih mewakili konsep “Keluarga Malaysia” yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Latiff berkata, daripada jumlah itu, 987,333 terdiri daripada orang Melayu; 73,190 Cina; 47,751 India; 60,084 Bumiputera Sarawak; 59,978 Bumiputera Sabah; 2,417 Orang Asli; dan 8,698 lain-lain.

Bagi jawatan tertinggi atas kategori Gred 56 pula, 3,300 adalah orang Melayu; 386 Cina; 240 India; 74 Bumiputera Sabah; 53 Bumiputera Sarawak; tiga Orang Asli; dan 42 lain-lain.