KUALA LUMPUR, 21 Julai – Syarikat carian enjin terkemuka dunia, Google melancarkan program latihan terbaharunya, Gemilang dengan menawarkan 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google untuk membekalkan peluang latihan digital yang inklusif untuk rakyat Malaysia.

Inisiatif digital yang disediakan itu membabitkan enam bidang iaitu kemahiran analisis data, sokongan teknologi maklumat (IT), automasi IT, pengurusan projek, reka bentuk UX serta pemasaran digital dan e-dagang.

Sejumlah biasiswa itu ditawarkan menerusi kolaborasi dengan enam rakan tempatan termasuk institusi pendidikan, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Semua itu terkandung dalam Gemilang, iaitu sebuah konsortium majikan untuk menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan yang mengiktiraf kelayakan berkenaan.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, berkata untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat menyokong seramai mungkin rakyat Malaysia, pihaknya komited menyokong sebuah ekosistem digital yang menyediakan peluang saksama dan inklusif.

“Kami di Google Malaysia bersama rakan kami ingin memberi peluang kepada mereka di luar sana untuk mendapat kemahiran digital bagi memanfaatkan rakyat Malaysia dari semua latar belakang.

“Melalui Gemilang, lagi ramai rakyat Malaysia akan dapat mengakses peluang latihan, mempelajari kemahiran baharu, mencari pekerjaan dan membina kerjaya mereka dalam ekonomi digital ini sambil ia berkembang,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Gemilang di Ibu Pejabat Google di sini, hari ini.

Hadir melancarkan inisiatif digital itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Antara rakan kongsi majikan Gemilang adalah Amanz, Carsome, Fave Asia, IPG Mediabrands, Jirnexu, Maybank, McDonald’s Malaysia, Omnicom Media Group (OMG), PETRONAS, Rev Media Group, The Star Media Group, The Lorry, Storehub, Astro AWANI.

Untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal dalam bidang pengkomputeran awan dan menyediakan kerjaya dalam bidang analisis data, pembelajaran mesin dan pembangunan aplikasi, Google turut bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain itu, terdapat kerjasama dengan institusi pendidikan termasuk Mereka Academy, rakan industri lain seperti Celcom Axiata Berhad dan Trainocate dan NGO seperti Girls in Tech, Persatuan Digital Malaysia, Women in Tech dan Yayasan Tunku Abdul Rahman untuk menawarkan biasiswa berkenaan.

Menurut perangkaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), jawatan kosong membabitkan bidang digital di negara ini meningkat hampir tiga kali ganda pada April tahun lalu.

Terdapat juga laporan dijalankan PwC menunjukkan 88 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu atau menjalankan latihan semula supaya mereka mudah mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.

Penawaran inisiatif itu juga didorong laporan daripada Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) yang menunjukkan kemahiran digital meraih permintaan paling tinggi dalam negara.

Ia membabitkan bidang seperti analisis data raya, pemasaran digital dan Kecerdasan Buatan (AI).

Dapatan laporan diterbitkan AlphaBeta mendedahkan, manfaat sepenuhnya teknologi digital boleh menjana sehingga AS$257.2 bilion dalam bentuk nilai ekonomi setiap tahun di Malaysia menjelang 2030.