KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang baru ditubuhkan semalam, diharap dapat melihat kepada etika ahli-ahli Parlimen.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini berikutan sebaik sahaja sesi Parlimen bermula, rakyat dihidangkan dengan pertelagahan yang memualkan dalam Dewan Rakyat.

“Sebuah dewan yang sepatutnya dianggap sebagai “dewan yang mulia”.

“Bahasa yang digunakan dan intonasi perbahasan pada hari-hari pertama sidang dewan hanya akan menyebabkan rakyat menjadi lebih jelek dengan politik negara.

“Perkataan-perkataan menghina yang dilemparkan oleh beberapa ahli parlimen amat tidak kena tempat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Katanya, ini belum lagi bila sentuh mengenai tebal muka beberapa ahli parlimen yang berhadapan pertuduhan pecah amanah dan mencuri, tetapi bercakap seolah-olah mereka ada integriti.

“Semua ini tidak serasi dengan kemuliaan yang sepatutnya ada dalam Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Maria Chin Abdullah dilantik sebagai pengerusi Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang baru ditubuhkan.

Azalina, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Maria, bekas pengerusi Bersih, dilantik sebagai konvener bersama pada mesyuarat kaukus tersebut semalam.

Kaukus berkenaan ditubuhkan bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi, terutamanya Dewan Rakyat, serta memudahkan penyertaan orang awam dalam proses Parlimen.

Pada masa sama, Wan Saiful mengucapkan tahniah atas penubuhan Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti dengan konvener bersama Azalina dan Maria Chin.

Katanya, kaukus itu perlu memainkan peranan untuk mengembalikan keyakinan dan penghormatan rakyat kepada dewan yang mulia itu.