SHAH ALAM, 21 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membantu menghebahkan kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman menerusi platform media sosial di bawah kementerian itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kehilangan Zalina itu menarik perhatian masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta kenalannya, Datuk Ras Adiba Radzi untuk turut sama membantu menjejaki wanita itu.

Menurutnya, walaupun wanita itu dilaporkan hilang sejak November lalu namun beliau berharap wanita itu ditemui dalam keadaan selamat.

“Saya kenali beliau sebagai pembaca berita dan bersimpati dengan berita kehilangannya serta berdoa supaya Zalina ditemui dalam keadaan selamat.

“Kita perlukan kerjasama daripada semua. Saya harap apabila berita kehilangan ini disiarkan, rakyat Malaysia yang prihatin boleh turut sama salurkan maklumat jika terserempak dengan wanita itu,” katanya selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di Glenmarie Hotel dan Golf Resort di sini pada Khamis.

Isnin lalu, berita kehilangan Zalina dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerusi satu kenyataan dipaparkan di Facebook rasmi IPD Shah Alam.

Wanita itu mempunyai bentuk fizikal berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam dilaporkan hilang oleh anaknya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lepas.

Zalina disedari hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuknya telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Anaknya bersama pakciknya kemudian pergi ke rumah mangsa dan mendapati keadaan dalam rumah tidak tersusun dan menemukan beg duit mengandungi kad pengenalan mangsa serta lain-lain dokumen.

Rina turut berharap keluarga Zalina tidak berputus asa dan cekal meneruskan usaha pencarian wanita berkenaan.

“Insya-ALLAH, kita sama-sama membantu. Kita boleh uar-uarkan juga melalui platform media sosial kementerian,” katanya.