KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan memberikan jaminan bahawa projek mega seperti projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dibatalkan malah akan diteruskan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan telah mengenal pasti hanya 30 projek yang tidak diteruskan pada tahun ini.

“Projek seperti MRT3 akan diteruskan, termasuklah ECRL dan Lebuhraya Pan Borneo, jadi yang ditangguhkan adalah projek baharu yang belum dimulakan dan belum diiklankan.

“Kita telah kenal pasti 30 projek yang melibatkan kos lebih RM100 juta, kecil sahaja bilangannya.

“Ini adalah projek yang belum diiklankan, dan ada apa-apa persiapan. Sesi lihat urus akan diteruskan minggu hadapan bersama EPU, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Rakyat,” katanya menjawab dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin kerajaan menyatakan perancangan Kerajaan berkaitan dasar menangguh atau membatalkan projek-projek baharu, serta menamakan projek-projek tersebut dengan kos yang dijimatkan.

Dalam pada itu, Mustapa juga berkata kerajaan menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan jaminan bahawa 50 peratus daripada peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke 14 (RMK14) aakn disalurkan kepada negeri-negeri kurang membangun.

“Komitmen kerajaan yang dinyatakan Perdana Menteri ketika membentangkan RMK12 pada 27 September lalu adalah 50 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan untuk negeri-negeri kurang maju iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dna Perlis.

“Itu janji kerajaan dalam Dewan ini,” katanya lagi menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata penjimatan kepada penangguhan projek itu boleh digunakan untuk membiayai sebahagian daripada peningkatan lebih RM40 bilion pemberian subsidi kepada rakyat.

“Daripada RM30 bilion yang dimasukkan dalam anggaran Belanjawan naik kepada RM77 bilion, ia peningkatan yang amat ketara sebab itu kerajaan perlu melihat semula perbelanjaan mengurus dan sebahagian kecil daripada perbelanjaan pembangunan,” katanya.