PUTRAJAYA, 21 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan satu pelan komprehensif utama berhubung kawalan sempadan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelan komprehensif itu membabitkan penggunaan pelbagai kaedah dan aset sedia ada supaya isu berkenaan dapat ditangani sebaik mungkin.

“Antaranya, kita mahu menggabungkan segala aset yang ada di seluruh negara, menubuhkan sebuah agensi berkaitan sempadan dan menggunakan teknologi terkini untuk mengawal keluar masuk individu di dalam negara.

“Sebagai contoh di Jabatan Imigresen, kita sudah menambah baik beberapa sistem. Kita juga sudah melakukan penambahbaikan pada aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain masih mempertimbangkan penambahan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Ini kerana kita juga perlu memberi keutamaan kepada ekonomi negara… yang mana harus kita beri keutamaan, sama ada membeli kapal atau ia boleh digunakan untuk perbelanjaan lain,” katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang 2022 pula, Hamzah berkata, penilaian terbabit dibuat secara subjektif dan turut mengambil kira pelbagai persepsi berhubung usaha Malaysia dalam menangani pemerdagangan manusia.

Malah, beliau memaklumkan, laporan itu juga dipengaruhi oleh tindakan penduduk secara menyeluruh seperti golongan majikan serta pekerja terbabit dalam persekitaran eksploitasi kerja, antara lain melakukan penderaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai.

“KDN serta Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) komited memelihara hak mangsa pemerdagangan manusia, seterusnya memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit secara langsung mahupun yang bersubahat dalam jenayah keji itu, untuk dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada.

“Antara tindakan strategik yang sudah diambil bagi memerangi jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia ialah membuat pindaan pada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang berkuat kuasa pada 22 Februari lalu.

“Selain itu, kita turut melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0); pemerkasaan kerjasama sedia ada melalui pendekatan ‘whole-of-nation’ dengan pelbagai pemegang taruh pada peringkat domestik dan antarabangsa; serta mengukuhkan kerjasama antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelbagai aspek seperti pengurusan rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di utara Semenanjung dan Lembah Klang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan AS menambah empat lagi negara membabitkan Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau dalam ‘Tier 3’ bagi pemerdagangan manusia, di samping Malaysia.

Negara yang berada dalam ‘Tier 3’ itu berdepan sekatan AS, namun kebiasaannya kerajaan negara itu tidak mengenakan hukuman terhadap negara mesra AS yang berjanji untuk membuat penambahbaikan.

Selain Malaysia, negara lain yang kekal dalam senarai itu ialah Afghanistan, Cuba, Eritrea, Guinea-Bissau, Iran, Myanmar, Korea Utara, Nicaragua, Russia, Sudan Selatan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela.