SHAH ALAM, 21 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai anti-stalking law dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, draf RUU tersebut yang dirangka Jabatan Peguam Negara (AGC) kini di peringkat perincian terakhir.

Beliau berkata, taklimat dengan Ahli-Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan pihak yang terlibat akan diadakan pada minggu depan bagi memaklumkan status terkini perkembangan draf RUU berkenaan.

“Saya akan buat taklimat bersama ahli-ahli Parlimen bersama Senator pada minggu depan untuk kita berikan pemakluman dan status terkini juga dengan semua pemegang taruh yang terlibat.

“Ia dilihat seiring masa dengan Rang Undang-undang Anti-Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang baharu diluluskan semalam, kalau dapat dibentangkan tahun ini (Anti Stalking) saya gembira sekali,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Ujar Mas Ermieyati, RUU tersebut dilihat akan memberi sinar kepada mangsa hendap untuk tampil tanpa bimbang dengan aspek keselamatan.

“Sebab ini sebahagian isu keselamatan yang kita boleh beri harapan kepada mangsa,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, peserta Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit anjuran Wanita Perikatan Nasional hari ini bersetuju supaya pembentangan RUU ini dipercepatkan.