KUALA LUMPUR, 22 Julai – Armada BERSATU mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin di atas kejayaan usul membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.

Ketua Armada BERSATU Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata walaupun peruntukan Subseksyen 4(5) agak kontroversi, ia adalah antara langkah-langkah perlu bagi melindungi orang awam daripada ancaman keselamatan yang berat.

“Terima kasih juga buat warga kementerian khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha berterusan.

“Sama-sama kita doakan agar warga PDRM dan anggota keselamatan lain sentiasa selamat dalam menjalankan tugas mereka, dan sentiasa mendapat senjata yang ampuh bagi mengatasi ancaman-ancaman ke atas rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Pada Rabu, Dewan Rakyat meluluskan usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.

Usul itu diluluskan selepas undi belah bahagian dilakukan, dengan 105 Ahli Parlimen menyokong dan 83 Ahli Parlimen membantah, manakala 32 Ahli Parlimen tidak hadir.

Keputusan itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat, dijangka pada minggu depan.

Pada 23 Mac lalu, usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA gagal diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong dan 50 lagi tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai ini.

Subseksyen 4(5) SOSMA bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan bawah SOSMA hingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Ia adalah kali pertama usul sedemikian di bawah Peraturan Mesyuarat 36(3) dibawa ke Dewan Rakyat.