ALOR SETAR, 22 Julai – Durian musang king dan duri hitam dari Kedah telah menembusi pasaran China sejak tiga tahun lalu dan mendapat permintaan tinggi.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan, Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasruddin berkata, kedua-dua varieti itu dieksport menerusi kaedah sejuk beku dalam bentuk sebiji buah, bukannya ulas seperti kebiasaan.

Menurutnya, ini kerana permintaan daripada peminat durian di negara terbabit yang mahu mengekalkan keaslian dan kesegaran raja buah itu.

“Sebelum ini, sejuk beku hanya dibenarkan mengikut ulas, kini China telah benarkan dibekukan sebiji buah sekali dengan kulitnya untuk dipasarkan memandangkan permintaan dari sana yang mahukan buah tahan lama selain dapat menikmati keaslian rasa buahnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azman berkata, terdapat kilang di Kuala Ketil, Baling yang mengeksport buah durian sejuk beku ke luar negara.

“Kilang Nictron Agriculture Sdn Bhd telah lama mengeksport buah durian yang dibekukan menggunakan nitrogen supaya ketahanan dan keaslian buah tahan lama serta segar.

“Sambutannya amat menggalakkan, untuk pasaran China pun tak mencukupi. Permintaan melebihi daripada penawaran kerana kualiti buah kita memang bagus dan memenuhi syarat-syarat eksport. China dan Taiwan antara negara paling banyak eksport,” katanya lagi.

Menurutnya, pada tahun 2020, nilai jualan musang king yang dieksport secara sebiji buah mencecah RM117.1 juta dengan 95 kontena manakala dalam bentuk ulas RM9.5 juta.

“Durian D24 (ulas) sebanyak RM11.7 juta serta ais krim musang king RM20.3 juta. Pada tahun 2021, nilai jualan menurun bukan disebabkan permintaan susut, sebaliknya kita tidak dapat bekalkan mengikut permintaan pasaran China kerana buah tidak mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, nilai jualan musang king yang dieksport secara sebiji buah pada tahun terbabit sekitar RM98.2 juta manakala dalam bentuk ulas RM12.7 juta, diikuti durian D24 (ulas) RM10.7 juta serta ais krim musang king (RM13.5 juta).

“Untuk tahun ini, bagi tempoh tiga bulan pertama, kita sudah eksport 34 kontena musang king dan dua bulan lepas 23 kontena, keseluruhan bernilai RM75.5 juta. Kita sasarkan untuk eksport 80 kontena bermula Ogos hingga Disember ini.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, musang king (ulas) yang dieksport sebanyak empat kontena dengan nilai RM8 juta, serta lapan kontena ais krim musang king (RM6.8 juta),” katanya.

Azman memberitahu, Kedah mempunyai 850 hektar tanaman durian dengan unjuran pengeluaran 20,000 tan metrik pada tahun ini melibatkan nilai pengeluaran dianggarkan RM186 juta.

“Kawasan penanaman utama di daerah Bandar Baharu, Kulim, Sik, Baling dan Padang Terap yang diklusterkan oleh Jabatan Pertanian sebagai kluster tanaman durian Kedah.

“Terdapat dua jenis, iaitu durian berdaftar yang didaftarkan penciriannya atau divarietikan dengan Jabatan Pertanian. Contohnya, duri hitam (D200), musang king (D197) dan terbaru J Sparrow (D216) dan Jerai D (D217),” katanya.

Tambah beliau, durian kampung ialah durian yang tidak didaftarkan dan terdapat pelbagai varieti berkualiti dan berpotensi untuk dikomersialkan.

“Jabatan Pertanian berusaha memartabatkan durian kampung agar dapat dikelaskan sebagai durian kampung premium. Pemilik dusun durian kampung digalakkan mendaftar untuk varieti jika berat buah melebihi satu kilogram, isi berwarna krim, kuning atau jingga dengan ketebalan melebihi 10 mm serta buah bebas penyakit.

“Jabatan Pertanian sedang menjelajah ke serata negeri bagi mengenal pasti durian kampung yang menepati ciri-ciri tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, harga durian ditentukan oleh pasaran iaitu permintaan dan penawaran sama ada pasaran tempatan atau luar negara.

“Harga musang king lebih mahal disebabkan permintaan amat tinggi untuk sejuk beku di pasaran luar negara. Durian duri hitam pula harganya mahal disebabkan rasa sedap dan kuantiti pengeluaran sedikit kerana belum banyak ditanam,” tambahnya.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong program pembangunan tanaman durian termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat swasta, usahawan dan agensi pertanian agar industri durian di Kedah lebih maju.