KUALA LUMPUR, 22 Julai – PETRONAS dianggarkan menyumbang RM55 bilion hingga RM59 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jangkaan ini termasuk sumbangan dalam bentuk dividen, cukai korporat dan petroleum, cukai Makmur, bayaran tunai petroleum dan duti eksport.

“Daripada anggaran sumbangan RM55 bilion hingga RM59 bilion itu, cukai pendapatan petroleum (PITA) bagi tahun 2022 dianggar RM14 bilion ke RM16 bilion,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu kerajaan menyatakan unjuran jumlah keuntungan oleh PETRONAS.

Anwar juga ingin tahu berhubung unjuran jumlah hasil Kerajaan Persekutuan daripada cukai pendapatan petroleum (PITA) bagi tahun 2022.

Pada masa sama, Mustapa berkata, unjuran jumlah keuntungan oleh PETRONAS (selepas cukai) bagi tahun 2022 adalah sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan unjuran dalam laporan kewangan PETRONAS pada Mac 2022 dengan andaian PETRONAS bahawa harga minyak mentah Brent kekal berada pada paras AS$100.03 (RM446.79) setong dan juga pengeluaran tidak terganggu sepanjang tahun 2022.