KOTA KINABALU, 22 Julai – Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) menyerahkan dividen sebanyak RM9 juta kepada kerajaan negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021.

Pejabat Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan berkata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyaksikan penyerahan dividen itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Mohd. Sofian Alfian Nair.

Turut hadir Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Harun dalam taklimatnya kepada Hajiji berkata SEC dan kumpulan syarikatnya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.7 juta bagi tahun 2021.

Keuntungan itu lebih rendah daripada prestasi kumpulan pada tahun 2020 sebanyak RM50.6 juta.

Beliau berkata keuntungan sebelum cukai anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) bagi tahun 2021 menurun kepada RM17.7 juta manakala keuntungan sebelum cukai SEC di peringkat syarikat ialah RM18.1 juta.

“Berbanding modal berbayar Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta, pelaburan semula keuntungan terkumpul selama ini telah menyebabkan Dana Pemegang Saham meningkat kepada lebih RM1 bilion pada akhir 2021.

“Sebagai tambahan kepada peningkatan nilai kepada pemegang sahamnya, SEC juga telah membayar dividen berjumlah RM231 juta kepada kerajaan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan itu.

Harun berkata SEC kekal fokus dalam mengukuhkan portfolio perniagaannya dan mengekalkan keuntungan kumpulan.

Menurutnya SEC akan terus menyediakan bekalan tenaga yang lebih baik, lebih selamat, bersih, mampu milik dan boleh diakses oleh lebih ramai pemegang kepentingan dalam komuniti perniagaan di Sabah.