PUTRAJAYA, 22 Julai – Sambutan Hari Imigresen 2022 yang bertemakan “Transformasi Digital Asas Kecemerlangan” di Dataran Pahlawan Negara pada Khamis, dimeriahkan dengan perbarisan kawad kehormat.

Sambutan itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin; dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Hamzah berkata tema sambutan tahun ini adalah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melihat semua Jabatan dan Agensi melaksanakan perubahan dan transformasi proses kerja berasaskan teknologi.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas kejayaan menganjurkan sambutan Hari Imigresen tahun ini dengan perbarisan kawad kehormat di Dataran Pahlawan ini buat julung-julung kalinya.

“Semoga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.