KUALA LUMPUR, 22 Julai – Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang baharu.

Perkara itu diumumkan LPPKN dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi, yang merupakan Ketua Bahagian BERSATU Sepang, dilantik sebagai Pengerusi LPPKN yang ke-12 berkuat kuasa 18 Julai 2022, bagi menggantikan Datuk Mohd Nizar Zakaria yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 15 Jun lalu.

Beliau yang berusia 54 tahun merupakan anak jati Selangor berkelulusan Sarjana Muda Sains Politik, Universiti California, Amerika Syarikat.

“Melalui pelantikan ini juga, KPWKM berkeyakinan penuh LPPKN yang baharu menyambut ulang tahun ke-56 Jun lalu, akan terus dipacu dengan membawa aspirasi pembangunan keluarga, kajian demografi penduduk dan kesihatan reproduktif termasuk subfertiliti dengan lebih cemerlang pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Suhaimi pernah menyandang jawatan ADUN Dengkil, Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor, Ahli Majlis Perbandaran Sepang dan Pegawai Khas kepada Exco Infrastruktur, Kerajaan Tempatan dan Tanah Rizab Melayu Negeri Selangor.