KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pengarah Operasi Pilihan Raya BERSATU Johor, Badrul Hisham Sharin mendakwa taktik Datuk Seri Najib Razak mahu menggunakan khidmat Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw bagi melengah-lengahkan kesnya, telah gagal.

Ini kerana, katanya, Najib telah didapati bersalah oleh seorang hakim di peringkat Mahkamah Tinggi dan tiga hakim di Mahkamah Rayuan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

“Najib telah dijatuhkan hukum 12 tahun penjara dan denda RM210juta untuk satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta daripada SRC.

“Sudah sah bergelar banduan cuma ditangguh sementara proses mahkamah persekutuan sahaja. Najib sedar dia hampir tiada peluang lepas kecuali wujud campur tangan “atasan”.

“Tidak mahu campur tangan ialah sebab #klustermahkamah marah dan singkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana itu #klustermahkamah mahu PRU cepat untuk pastikan Umno berkuasa penuh agar boleh campur tangan dalam membebaskan mereka. Sementara itu taktik melewat lewatkan proses mahkamah digunakan bagi menunggu PRU yang mereka desak adakan.

“Antara taktik melewat lewatkan ialah dengan membawa masuk peguam dari luar negara. Bayangkan dengan peguam tempatan pun mereka berjaya kejap sakit, kejap Covid dan lain lain untuk tangguh dan jika dapat peguam luar negara pasti banyak alasan lagi mereka ada. Namun hari ini Mahkamah telah tegaskan tidak ada keperluan bawa peguam luar negara untuk kes mudah seperti penyelewengan SRC yang sangat jelas fakta kesnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, sangat yakin pelbagai alasan lain akan muncul dalam usaha kluster mahkamah melewat-lewatkan kes mereka, sementara mereka akan mempertingkatkan lagi tekanan untuk desak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, ini kerana mereka yakin jika PRU, mereka akan menang besar dan menguasai kerajaan sepenuhnya agar mudah mereka melepas diri.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakiman menerusi sidang video, berkata tidak ada keperluan untuk membawa masuk QC bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.

Beliau berkata, Laidlaw tidak dapat menunjukkan bahawa beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman bagi mengendalikan kes atau rayuan seperti yang dihadapi Najib.

Peguam itu juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.

Pada 31 Mei lalu, Laidlaw memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di mana peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel iaitu cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan keterangan, hak perlembagaan, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.