KUALA LUMPUR, 22 Julai – BERSATU perlu menonjolkan imej bersih kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan lebih berkesan dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata Muhyiddin yang memimpin BERSATU sebagai Presiden, dilihat mempunyai jenama dan kualiti yang perlu diperluaskan di setiap rakyat.

Beliau, yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket BN dan kemudiannya menjadi Bebas sebelum menyertai BERSATU, berkata jenama Muhyiddin tidak dipasarkan dan ditonjolkan secara betul, dan ini adalah kelemahan yang ada pada BERSATU.

“Saya tak bencikan UMNO cuma saya tak suka perangai sebahagian dalam UMNO.

“Tetapi bila berada dalam BERSATU, pada saya BERSATU adalah Muhyiddin Yassin. He is the person mempunyai brand dan kualiti, tetapi marketing tak bagus.

“Brand ini tidak dipasarkan secara betul. Ini kelemahan yang ada pada BERSATU. Jadi, marketing dan strategi harus diatur dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Bersama Wan Saiful yang dikendalikan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini.

Video penuh wawancara itu dimuat naik dan boleh ditonton di Youtube Bersatu Online:

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata beliau melihat Muhyiddin sebagai tokoh yang sanggup berjuang dan berkorban dalam menyelamatkan negara daripada ancaman politik dan pandemik COVID-19.

Ini kerana, katanya, setelah beberapa bulan Muhyiddin menjadi perdana menteri, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu membelanjakan wang yang cukup besar untuk mengurus kesihatan dan kebajikan rakyat tatkala berdepan situasi kesihatan yang tidak pernah berlaku di dunia.

“Ini tak sepatutnya rakyat lupakan.

“Beliau mahu kerajaan PN ini kekal, tetapi pihak UMNO membuat pelbagai perkara untuk mengugut dan sebagainya, akhirnya Muhyiddin berkorban sekali lagi dan memberi laluan kepada wakil UMNO menjadi PM,” katanya.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana parti yang kalah boleh kembali menjadi perdana menteri.

“Di Perak, parti kalah boleh balik menjadi menteri besar.

“Ini satu pakatan dan tolak ansur Melayu yang cukup hebat. Kita harapkan ini dapat dikekalkan menjelang PRU, namun saya tak nampak tanda positif setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz mengimbas kembali keputusannya menyertai BERSATU atas permintaan Muhyiddin yang ketika itu mahu mencari sokongan dan melengkapkan nombor akhir ke-113 untuk ahli-ahli Parlimen yang menyokong.

Katanya lagi, faktor menyatukan parti-parti teras Melayu dilihat penting dalam mengembalikan kuasa Melayu di mana peranan itu diusahakan Muhyiddin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Saya sebenarnya memberikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai seorang yang terakhir melengkapkan nombor 113. Pada ketika itu, saya masih Ahli Parlimen Bebas. Saya tak bercadang untuk terlibat dalam mana-mana parti. Saya lebih selesa membuat kerja berkhidmat daripada kerja politiking yang membuang masa.

“Pada satu hari, saya berkesempatan bersama Muhyiddin ketika makan tengahari, beliau bertanyakan kepada saya, apa kedudukan saya? Saya berkata saya selesa menjadi Bebas. Beliau memaklumkan yang beliau memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada ahli parlimen, jadi saya buat keputusan masuk BERSATU.

“Di sini saya lihat, ahli-ahli Parlimen yang meninggalkan UMNO berusaha untuk menyatukan parti-parti Melayu. Di sini muncul wira melayu iaitu Muhyiddin mengambil tanggungjawab bersama Abdul Hadi dan membuat pendekatan positif dengan UMNO sehingga tergabunglah parti-parti teras Melayu ini untuk mendapat undi yang cukup.

“Saya istilahkan ‘serangan dari dalam’, sehingga memecahkan kekuatan pembangkang yang parti campuran dan mengembalikan kuasa Melayu sehingga wira kita Muhyiddin menjadi PM,” katanya.