KUALA LUMPUR, 23 Julai – Armada BERSATU mempersoalkan sama ada kerajaan masa ini lemah atau ada kartel di belakang ahli politik.

Ketua Armada Bahagian Kuala Langat, Muhammad Ariffin Tarmuji berkata pelbagai kartel masa ini wujud seperti kartel ayam dan daging.

Beliau tidak menolak selepas ini mungkin wujudnya kartel ikan atau sayur.

“Rakyat muak dengan alasan ini semua kerana mereka terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup.

“Sejak bertukar kerajaan dari pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita lihat banyak jawatankuasa diwujudkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebelum ini Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL), dan sekarang Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan mungkin selepas ini ‘Jawatankuasa Syahid Kebangsaan (JKSK)’ kerana semua syahid sebelum sempat tangani isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata dari dahulu dengar kerajaan akan ambil tindakan undang-undang terhadap kartel dan siasatan demi siasatan dibuat.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan di mana hasil siasatan itu.

“Jangan bermain wayang dengan masalah rakyat. Kalau pasal jawatan GLC dan GLIC sekejap sahaja buat lantikan.

“Minggu ini tamat kontrak, minggu hadapan dah lantik mana-mana Ketua Bahagian UMNO. Saya nasihatkan, tak perlu pelbagai jawatankuasa,” katanya.

Ariffin juga berkata kerajaan tidak perlu keluar kenyataan berkali-kali lantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tangani isu itu.

Katanya, NAFAS bukan sahaja keluarga Malaysia tapi ‘keluarga kandung’.

“Takkan tak boleh bisik untuk selesaikan masalah rakyat di bawah ini,” katanya.

Untuk rekod, Pengerusi NAFAS adalah Datuk Zamri Yaakob, abang kepada Ismail Sabri.