ALOR SETAR, 23 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menempatkan kanak-kanak empat tahun yang dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan dicucuh pemetik api oleh ibu bapa angkatnya di sebuah tempat selamat selepas mangsa selesai menjalani rawatan di hospital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kanak-kanak dalam video penderaan yang tular di media sosial telah diselamatkan, manakala pasangan suami isteri berusia 28 dan 30-an juga sudahpun ditahan.

Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU memberitahu, kanak-kanak terbabit akan terus ditempatkan di sebuah tempat selamat selepas dibenarkan keluar hospital.

“Apa yang lebih penting, sekarang ini kita hendak supaya kanak-kanak ini kembali sihat. Insya-ALLAH, selepas saja dia boleh keluar daripada hospital, maka kanak-kanak ini akan kita tempatkan di tempat selamat sehingga kes perbicaraan mahkamah itu selesai,” katanya.

Beliau memberi jaminan perlindungan akan diberikan kepada kanak-kanak ini malah pelindung kanak-kanak akan ada bersama supaya dapat menjaga mangsa dengan lebih baik.

Rina berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jerayawara Dan Karnival Wanita Bangkit@KPWKM Zon Utara di Aman Central, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Datuk Halimaton Shaadiah Saad.

Dalam perkembangan sama, Rina memuji tindakan pantas orang awam yang membuat laporan polis berhubung kejadian dera berlaku dalam kehidupan masyarakat.

Beliau mengharapkan lebih ramai memberi perhatian dan peduli terhadap isu perderaan yang mungkin berlaku di sekeliling.

Katanya, orang awam yang memiliki maklumat kes dera sedemikian diminta membuat laporan polis ataupun menghubungi talian Kasih atau terus ke Pejabat Kebajikan Daerah berhampiran masing-masing untuk membuat laporan dan sebagainya.

Pada Jumaat, seorang kanak-kanak menempuh detik hitam apabila menjadi mangsa dera ibu dan bapa angkatnya dengan dipukul serta dicucuh pemetik api dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Beranang dekat sini.

Rina sebelum itu, merasmikan Program Jerayawara dan Karnival Wanita Bangkit@KPWKM Zon Utara yang diadakan bagi memberi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan (keusahawanan) kepada wanita.

Hampir 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 25 majikan dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Karnival Wanita Bangkit@KPWKM Zon Utara berkenaan dan sehingga kini jumlah keseluruhan peserta di bawah Wanita Bangkit@KPWKM adalah 44,960.