KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan digesa melipat gandakan lagi usaha bagi melakukan pemeriksaan besar-besaran di seluruh negara, terutamanya di sempadan negara bagi membanteras pihak yang menyorok minyak masak subsidi.

Ketua Armada BERSATU Sepang, Ts Shahmi Shamsuddin menyambut baik tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak bersubsidi, bernilai lebih RM85,000 dalam tempoh 15 hari, bermula awal bulan lalu.

“Ini menunjukkan kerajaan komited memerangi aktiviti menyorok bekalan, cubaan seludup barangan dan mengenakan syarat pembelian dalam memastikan masalah kekurangan bekalan minyak masak tersebut tidak diselewengkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa penambahan Pegawai Pemantau Harga (PPH) perlu diperluaskan bagi memantau harga makanan yang sengaja dinaikkan oleh peniaga.

Katanya, minggu ini, harga minyak masak mentah dunia turun daripada RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 tan metrik.

“Bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, saya turut mencadangkan harga minyak masak pek bersubsidi dikurangkan dari RM2.50 kepada RM2.00 seiring penurunan harga minyak tersebut,” katanya.