KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ketua Armada BERSATU Subang, Haszrilhafizi Mohayan mendesak ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memegang jawatan menteri atau di dalam kementerian bagi melihat semula jawatan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang oleh ahli Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, jika perlu diusir atau dikosongkan, Armada BERSATU mendesak tindakan itu segera dilakukan.

“Kita tidak pernah bersetuju agihan jawatan dibuat kepada puak UMNO-BN semata-mata bertujuan meraih sokongan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pemilihan kelak.

“Banyak kuota jawatan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikawal oleh puak UMNO-BN di mana jawatan yg disandang sebelum ini oleh Perikatan Nasional (PN) sengaja dikosongkan atau dicuri oleh puak UMNO-BN secara halus seolah-oleh sengaja cuba menggugat kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, janji berhubung lantikan jawatan telah dipersetujui sebelum ini untuk menyokong Ismail sebagai Perdana Menteri melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh pihak berkepentingan dalam membentuk kerajaan sekarang.

Beliau berkata jangan biadap dan kurang ajar dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sengaja menguji kesabaran ahli-ahli PN di bawah.

“Ismail perlu sedar sebelum ini yang mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri adalah komponen PN, bukan parti beliau sendiri yang memandang beliau sebagai bahan buli Presiden UMNO.

“Kini rakyat melihat beliau seperti Perdana Menteri bayangan atau boneka yang dikawal kluster mahkamah yang ditolak rakyat,” katanya.

Haszrilhafizi berkata sebelum bajet 2023 dibentangkan sudah kelihatan strategi UMNO-BN melalui Ismail menyusun orang mereka dalam jawatan-jawatan tertentu GLC dan GLIC untuk menunggu durian runtuh kelak.

Katanya, mereka langsung tidak menghormati rakyat dan kehendak rakyat selainnya rakus untuk mencari dana bagi pemilihan parti dan piliharaya.

“Fokus kita terhadap bajet 2023 ini untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara bukan untuk puak UMNO-BN atau pemilihan parti mereka.

“Jika kelihatan bajet yang dibentangkan kelak fokusnya kepada memberi peruntukan kepada puak UMNO-BN kita desak ia ditolak oleh ahli Parlimen dari PN,” katanya.