LARUT, 23 Julai – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata mesyuarat dalaman PN yang akan diadakan dalam waktu terdekat antara lain akan membincangkan agenda meluluskan penggunaan logo PN yang baharu.

Beliau berkata, pihaknya melantik beberapa syarikat untuk mencipta beberapa reka bentuk logo terbabit.

“Ya kita akan adakan mesyuarat PN tidak lama lagi dan kita sudah melantik beberapa syarikat untuk cipta beberapa ‘design’ dan akan kita luluskan nanti (logo) dalam mesyuarat kita itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka Batu Kurau, di sini, hari ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilapor berkata, PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada dua minggu sebelumnya.