LARUT, 23 Julai – Program ‘Kita Demi Negara’ yang berlangsung di Dewan Astaka di Batu Kurau hari ini mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk setempat apabila teruja mengunjungi pameran keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Satu panel televisyen gergasi memaparkan informasi berkaitan modus operandi penjenayah terkini dan 10 Jabatan PDRM, membolehkan penduduk mengetahui dengan lebih dekat tugas serta peranan warga Pasukan memerangi jenayah dalam negara.

Turut menarik perhatian pengunjung, pastinya pameran beberapa aset Pasukan seperti dron DJI Matrice 300 RTK, Drone Jammers Orion H, kereta perisai Commando V-150 dan Sankey AT 105 kegunaan Skuadron Perisai 1, Batalion 2, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am serta jetski Seadoo RXT 215 model Bombardier milik Pasukan Polis Marin.

Penduduk juga dapat menyaksikan secara langsung ketangkasan operatif Unit Tindak Khas menyempurnakan demonstrasi menyelamatkan orang kenamaan dan pertunjukan payung terjun oleh 69 Komando.

Terdahulu, program kemasyarakatan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu menampilkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berdialog dengan masyarakat setempat, selain menggalakkan penyertaan orang ramai sebagai Sahabat KDN.

Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut menyantuni orang ramai yang berpusu-pusu hadir memeriahkan acara sepanjang program berlangsung.