KUALA LUMPUR, 23 Julai – Srikandi BERSATU Malaysia menyatakan kesediaan untuk terlibat sama membantu kerajaan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan pada Rabu lalu.

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Mastura Mohamad Darby berkata RUU Anti Gangguan Seksual apabila dikuatkuasakan nanti, akan menjadi lembaran baru dalam kehidupan.

“Apabila setiap percakapan dan perbuatan pihak lain terhadap wanita dan remaja wanita khasnya, akan lebih berhati-hati.

“Tulisan yang bersifat seksual dan memalukan orang lain di media sosial umpamanya, akan dihentikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Antigangguan Seksual 2021 dengan lebih suara bersetuju selepas lebih 10 tahun ia dirangka.

Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 Ahli Parlimen.

RUU tersebut adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual.

Pada masa lain, Mastura berkata ketika ini gangguan seksual seolah-olah dinormalisasikan dalam kehidupan, di media sosial dan di sekolah.

Katanya, sedangkan gangguan seksual adalah pelanggaran hak asasi manusia dan satu keganasan bersifat seksis, yang boleh menyebabkan tekanan jiwa serta perasaan mangsa.

“Kita mahu budaya yang lahir untuk generasi hadapan dan masyarakat hari ini terutama dengan ledakan isi kandung sosial media yang merentas batas-batas agama ini, adalah masyarakat yang berbudi pekerti, berilmu dan menghormati antara satu sama lain.

“Apa yang penting sekarang ialah memberi kesedaran dan mendidik remaja sekolah serta orangramai tentang apa itu RUU Anti Gangguan Seksual,” katanya.

Mastura yang mewakili Srikandi BERSATU Malaysia berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Rina serta Ahli Parlimen Malaysia yang telah sebulat suara meluluskan RUU Anti Gangguan Seksual.