KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajaan digesa melakukan reformasi total dengan segera terhadap agihan subsidi dan bantuan kepada rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata langkah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memperbaiki pemberian subsidi petrol sudah baik, tetapi itu hanya langkah kecil.

“Apa yang kita perlukan ialah “welfare reform” yang lebih menyeluruh yang mesti kita mulakan segera jika kita mahu pastikan kelestarian program bantuan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata gembira mendengar Tengku Zafrul mengatakan mekanisme baru agihan subsidi bersasar untuk subsidi petrol sedang dibina.

Bagaimanapun, beliau berkata merubah hanya satu subsidi sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sebenar.

“Kita perlu reformasi mekanisme agihan bantuan dan subsidi yang menyeluruh agar ia menjadi lebih teratur dan bersasar.

“Matlamatnya ialah supaya tidak ada sesiapa yang layak tetapi tertinggal daripada menerima bantuan,” katanya.

Tambahnya, masih ada yang tidak tahu cara untuk memohon, dan ada juga tidak tahu mereka layak untuk mendapat bantuan.

Beliau berkata pernah menyuarakan agar kerajaan ambil langkah untuk “streamline” skim-skim bantuan supaya proses permohonan dapat disatukan dan dipermudahkan.

“Saya mahu ulang cadangan itu hari ini. Saya cadangkan langkah-langkah berikut sebagai permulaan iaitu wujudkan satu “master database” semua penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua agensi baik yang berkenaan.

“Ini akan membolehkan kerajaan membentuk satu gambaran besar mengenai penerima, pemohon dan bantuan-bantuan yang layak mereka terima,” katanya.

Wan Saiful turut mencadangkan kerajaan permudahkan proses pendaftaran agar pemohon mengisi satu borang sahaja.

Katanya, tidak perlu lagi mengisi pelbagai borang untuk mohon bantuan dari agensi yang berbeza-beza.

“Ini memerlukan kerjasama antara kementerian dan antara agensi termasuklah LHDN, KWSP, JKM dan lain-lain lagi,” katanya

Beliau juga berkata konsep “negative income tax” yang dipopularkan oleh Professor Milton Friedman boleh dijadikan panduan dalam menentukan jumlah bantuan yang perlu diberikan.

Katanya, satu penanda aras ditetapkan oleh kerajaan dan mereka yang berpendapatan kurang dari aras ini diberi bantuan untuk membolehkan mereka mencapai aras tersebut.

“Kita boleh ambil pengajaran daripada pengalaman United Kingdom bermula tahun 2010 menyusun semula pelbagai bentuk bantuan kerajaan dan menyatukan beberapa skim menjadi satu skim baru yang dipanggil ‘Universal Credit’,” katanya.