KUALA LUMPUR, 24 Julai – Srikandi BERSATU Negeri Selangor menggesa kerajaan agar melaksanakan satu hukuman yang sangat berat dikenakan kepada pesalah laku kes Alia dan penderaan kanak-kanak yang lain.

Ketua Srikandi BERSATU Negeri Selangor Jumiah Jonid berkata hukuman itu wajar agar ianya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kes dera kanak-kanak adalah isu yang serius dan perlu dibendung dari berleluasa di negara ini.

“Alia didera, dipukul berkali-kali dengan penyapu sehingga lebam di muka dan kaki, disumbat dengan nasi dan dipaksa makan.

“Kes Alia yang kini tular di media-media sosial adalah rakaman dari seorang personaliti media sosial, adik Muhammad Danish Daniel. Tindakan berani dan sikap prihatin Muhammad Danish Daniel atau Coki ini, sehingga tertangkapnya ibu dan bapa angkat Alia, patut dipuji dan dicontohi oleh generasi muda dan masyarakat agar sentiasa peka serta mengambil berat masalah di persekitaran, agar dapat mengambil tindakan yang sama, membantu menyelamatkan mangsa dan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat kes dera di mana-mana sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis telah menahan dua individu yang dikaitkan dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan mengesahkan mangsa juga telah diselamatkan selepas pihaknya menerima satu laporan pada awal pagi Jumaat.

“Pada 22 Julai 2022 jam 12.14 tengah malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima satu laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak dan satu siasatan telah dijalankan.

“Selepas menerima laporan berkenaan, Polis Kajang pada 22 Julai 2022 jam 2.30 pagi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura di sebuah rumah di taman perumahan Beranang, Selangor,” katanya.

Kedua-dua suspek berumur lingkungan 28 hingga 30-an.

Mohd Zaid berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jumiah turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun di atas tindakan pantas mengarahkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memantau dan membuat advokasi terhadap Alia, yang kini berada di Hospital Kajang.

“Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

“Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

“Syabas di ucapkan atas tindakan pantas YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri KPWKM mengarahkan JKM memantau dan membuat advokasi terhadap Alia,” katanya.