KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa perlu mengawal selia kenaikan harga barangan.

Ketua Armada Bahagian Sabak Bernam Mohammad Ferris berkata kerajaan perlu memandang serius penegasan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan semula Majlis Sekuriti Makanan Negara.

“Muhyiddin melihat lebih jauh kehadapan dan lebih ideanya komprehensif.

“Menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, sekali gus mencari jalan mengatasi krisis yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ini kerana krisis makanan dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.

Katanya, penubuhan Majlis Sekuriti Makanan Negara sebagai pelan sokongan kepada penyelesaian kekurangan bekalan asas makanan dalam negara yang dihimpit inflasi.

“Bila inflasi, kita kena perbanyakkan pengeluaran dalam negara dan kurangkan aliran wang keluar,” katanya.

Pada masa sama, Ferris berkata besar kemungkinan negara akan berhadapan dengan situasi hiperinflasi sekiranya tiada langkah-langkah intervensi yang terkawal dan berkesan diambil segera.

Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menunjukkan trend peningkatan di mana indeks makanan meningkat kepada 6.1 peratus yang menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

“Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5 peratus), nasi berlauk (+9.7 peratus), masakan daging (+7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (+7.0 peratus).

“Kedua, minyak dan kos bahan mentah menjadi sebab utama kepada peningkatan ini. Oleh yang demikian menjadi tanggung-jawab kerajaan melalui pihak autoriti untuk mengawal selia barangan ini,” katanya.

Ferris berkata jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif segera, sudah tentunya akan memberi kesan terhadap kos sara hidup dan peningkatan terhadap harga-harga barang yang akan membebankan rakyat.

Katanya, bukan dari sudut kehidupan mereka sahaja akan tetapi kesihatan mental mereka juga.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menetapkan harga-harga siling bagi barangan keperluan harian yang lebih baik dan efektif selain jaringan kese­lamatan sosial yang berstruktur perlu dijalankan.

“Antara langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan mungkin menilai semula cadangan “Pegging” nilai ringgit pada suatu kadar yang bersesuaian sementara waktu agar kesan ke atas kos eksport dan import dapat dikurangkan.

“Kerajaan juga perlu fokus kepada jaminan sekuriti makanan ekoran saiz populasi yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.