PUTRAJAYA, 24 Julai – Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerima kunjungan hormat Menteri Pendidikan Singapura merangkap Presiden Majlis Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO), TYT Chan Chun Sing di kementeriannya, baru-baru ini.

Mohd Radzi berkata pelbagai perkara berkaitan pendidikan dibincangkan, termasuk kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan.

“Kami juga berkongsi pandangan tentang usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan agar terus kekal kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.

“Saya juga berkesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada TYT Chan Chun Sing di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang perkhidmatan saya sebagai Presiden Majlis SEAMEO pada 2020-2021. KPM sentiasa komited untuk bekerjasama dengan negara anggota SEAMEO bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

“Semoga kerjasama melalui hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan SEAMEO ini akan terus diperkukuh dan lebih banyak potensi usahasama dalam bidang pendidikan dapat diteroka,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir sama, Pengarah SEAMEO serta barisan kepimpinan Kementerian Pendidikan Singapura.